Mukadimah

Hasil dari penulisan puisi dan rancangan hendak menghasilkan buku pertama saya, tergerak hendak melagukan puisi-puisi tersebut di dalam bentuk lagu dan melodi; melihatkan anak-anak saya lebih teruja mendengar lagu dari membaca lalu terhasillah album ini yang mengandungi lagu-lagu puisi ketuhanan, nasyid, motivasi dan nasihat.

Saya mengumpamakan album ini bagaikan 'sebuah buku yang boleh didengar' kerana sebagai seorang yang bukan dilahirkan sebagai penyanyi dan pemuzik, maka sudah tentulah pertolongan dari Allah yang boleh menyebabkan album ini dapat disiapkan. Alhamdulillah.

Album ini bukanlah tujuan utamanya untuk dijual; oleh itu saya izinkan sesiapa yang berminat utk mendengar dan meng'download' lagu-lagu ini ke dalam PC mereka; adalah dialu-alukan. Sekiranya ada yang berminat ingin mendapatkan CD yang lengkap bersama cover, tentulah sedikit kos akan diperlukan untuk menyalin CD dari komputer 'home studio' saya serta penghantaran.

Monday, April 11, 2016

Ada lagi ke yg nak baca blog?

Assalamualaikum WBT!
6 tahun yang panjang saya tak menulis di blog ini. Kekangan masa dan tumpuan adalah alasan yang paling mudah dan tepat. Jalan Cahaya saya terus menerjah ruang-ruang kosong tanpa sempadan terutama menerobos sukma-sukma seni kreatif dari bahan-bahan musik dan audio serta video yang berkonsep dan berteraskan Islam.

Maka lahirlah Loonaq Records dan kemudiannya IslamicTunes.net, suatu jangkamasa yang panjang untuk dihabiskan dengan pelbagai pengalaman baru dan unik, ada manis dan ada pahit, ada pahit, ada masin, ada sedap, ada hanyir dan pelbagai rasa lagi.

2022 - blog saya yang masih aktif adalah:-

Dari mana datangnya RASA?

Tuesday, September 14, 2010

Matlamat Hidup 2

Salam aidilfitri. Tahun ini hari raya disambut dengan renovation rumah yang mulanya dijangka sedikit saja tetapi kemudian menjadi renovation yang agak besar sehingga ke tahap pecah dinding dan tambah dinding baru.  Maka sepanjang Ramadhan ini keluargaku terpaksa berperang dengan debu-debu yang berterbangan akibat dari pecahan-pecahan dinding yang dibuat sehingga kami sekeluarga mendapat selsema dan demam.  Aku pula terlibat di dalam membuat dekorasi dan perancang utama hiasan dalaman. Akhirnya rumah tak siap dan kami terpaksa beraya dengan katil baru yang dtempah tak sempat siap, bilik air pula buat hal kerana basin tandas tidak mengepam dengan sempurna.  Akhir 10 Ramadhan juga aku terpaksa bertarung dengan hal-hal renovation ini dan malu dengan Tuhan kerana masih tidak dapat beramal dengan sungguh-sungguh seperti yang lazimnya aku berazam setiap ramdhan yang lalu.

Namun setiap kali hari raya sebenarnya aku teringat dengan kisah abang sulung ku yang berhasrat meminjam kereta dari bapa saudara sebelah bapaku yang ketika itu mempunyai beberapa buah kereta dan salah sebuahnya 'dipercayai' tidak digunakan sepanjang hari raya. Dengan hajat yang membara dia telah berkunjung ke rumah bapa saudaraku itu tetapi hajatnya tidak kesampaian kerana telah dimaki-hamun di laman rumahnya.

Abang sulungku pulang ke rumah dengan keadaan marah dan meradang kerana telah dihina kerana tidak mampu membeli kereta dan membawa anak-anaknya (yang sulung kembar lelaki perempuan) berjalan-jalan. Aku hanya mampu memandang situasi itu dan menyimpan azam akan tidak mahu meminjam sebaliknya harus berusaha menjadi kaya dan membeli banyak kereta.

Cerita ini bukanlah untuk mengukit sekadar mengingatkan aku motivasi yang diterima membuatkan aku kental dan bertenaga untuk berusaha sehingga berjaya khususnya di dalam perniagaan.  Aku pun tidak marah dengan bapa saudaraku itu kerana banyak sebab; pertama mungkin kerana moodnya tak baik pada pagi itu ataupun memang dia tidak mahu meminjamkan keretanya kepada sesiapa pun.  Itu haknya dan tidak ada siapapun yang patut mempertikaikannya.

Kini aku juga tidak mahu meminjamkan kereta kepada sesiapa kecuali abang sulungku yang memang bekerja untuk syarikat aku kerana juga banyak sebab; yang utamanya adalah untuk tidak memanjakan sesiapapun dengan mengamalkan kaedah pinjam-meminjam. Kereta pun dah murah sekarang, ramai yang mampu.

Kereta sekarang bukanlah sebagai simbol kekayaan sebaliknya untuk kemudahan dan keperluan.  Kisah ini menyebabkan aku berusaha menyediakan kereta (bukan kereta baru atau kereta mewah) untuk anak-anak yang sedang belajar di kolej.  Bukan untuk simbol keegooan tetapi lebih kepada keperluan dan keselamatan.

Salam.

Friday, January 22, 2010

Matlamat Hidup Pertama 1

Matlamat ini wujud setelah timbul beberapa peristiwa dalam hidupku.  Ada dua peristiwa yang begitu melekat di benak fikiran sehinggalah kini, walaupun telah ku semai dan ku belai hati agar menjadikan peristiwa ini sebagai hikmah yang menyedarkan aku, bukannya untuk disimpan sebagai kenangan yang menyakitkan hati dan mendidik hati agar menjauhkannya menjadi dendam atau virus penyakit di dalam hati.

Aku hanya berupaya melihat dari sudut lain selain keseronokan hidup sebagai kanak-kanak setelah berusia 9 atau 10 tahun. Bermula dari usia ini aku boleh menilai dan menganalisa (mengikut akal fikiran semasa) beberapa perkara dan mula menyimpan angan-angan untuk membina masa hadapan berdasarkan peristiwa-peristiwa yang meruntun hati tersebut.

Peristiwa pertama di suatu petang kehadiran pakcikku (yang digelar mamak-mengikut adat orang minangkabau) datang ke rumah dengan muka bengis dan merengus. Perbualan dengan arwah ibuku dangan abangnya itu yang mulanya perlahan kemudiannya menjadi kuat dan diselang-seli dengan bentakan, jeritan teriakan disulam bersama maki-hamun dan caci-mencaci kedua belah pihak. Berdasarkan sejarah yang telah ku ketahui, mamakku ini memang panas baran tetapi baik hatinya serta 'berada' orangnya kerana dia bekerja dengan jabatan kerajaan sebagai renjer perhutanan. Arwah ibuku pula memang dikenali sebagai orang yang panas baran juga serta berupaya melepaskan kata-kata 'laser' yang pada pendapatnya benar dan sekiranya dia merasakan dia di pihak yang benar.

Dipendekkan cerita rupanya mereka bertengkar kerana rumah kos rendah yang telah dibeli bersama atas nama ibuku suatu waktu dahulu diminta oleh mamakku kerana terdapat beberapa tunggakan bayaran telah tidak dijelaskan oleh ibuku (atau bapaku). Rumah teres yang berada di Pekan Kuang itu tidaklah mahal ketika itu bernilai lebih RM5,000 sahaja (sekitar awal tahun 70an) dan bayaran tertunggak yang telah dijelaskan oleh mamakku lebihkurang RM1000. Yang meruntun hatiku apabila terbit kata-kata penghinaan dari mamakku yang mengatakan bapaku tak mungkin dapat menyelesaikan tunggakan itu dan memaksa ibuku menukar namanya kepada nama beliau.  Ibuku membantah kerana bapaku juga telah menjelaskan bayaran lebih RM1000 dan ibuku tidak mahu menyerahkan rumah tersebut kepada abangnya dan menjelaskan abangnya telah banyak mempunyai tanah dan rumah dan kenapa rumah ini menjadi rebutan pula.

Yang menghairankan bila bapaku pulang dari kerja, mamakku cepat-cepat minta diri dan membuatkan bapaku terpinga-pinga dengan kejadian itu dan melihat pula ibuku menangis kerana pertengkaran tersebut.  Bila bapaku mengetahui sahaja cerita sebenar, bapa ku lihat termenung dan duduk menyendiri di tangga rumah.  Ibu pula sibuk mencari-cari duit-duit yang disimpannya di dalam bantal, bawah tikar, sudut-sudut almari dan mengeluarkan barang-barang kemas yang tak seberapa termasuk cincin.

Aku pula yang memang berada di bawah kolong rumah keluar dan melihat bapaku seolah mengesat airmata, lalu setelah memberi ayam makan dan memasukkan ayam-ayam tersebut ke reban, terus ke atas rumah dan memasuki bilik. Aku mencari tabung ayam dan kemudian ku serah pada ibuku. Ku pecahkan tabung tersebut di hadapan ibu (adalah pulu-puluh ringgit sebab banyak duit 5 dan 10 sen saja). Aku terus mandi untuk ke surau bersembahyang maghrib. Sepanjang perjalanan itu aku bertekad akan membebaskan diri dan keluarga dari lembah kemiskinan yang menyebabkan mudah orang lain menghina dan mencaci-maki di atas kelemahan kita ini...

Aku tak berapa tahu bagaimana akhirnya mereka menyelesaikan perkara itu tetapi menurut cerita yang aku dengar dari Mak Usu ku ibu-bapaku telah berkunjung ke rumah mamakku dan membayar tunggakan tersebut dan mengambil semua resit-resit bayaran serta geran rumah tersebut. Bapaku juga melangsaikan bayaran penuh ke atas baki harga rumah tersebut di pejabat Daerah di Gombak dan mengikut cerita yang aku dengar kemudiannya dari ibuku, bapaku telah dapat pinjaman dari majikannya dan pembayarannya secara potongan gaji.

Aku tidak menyalahkan sesiapa. Selepas itu kelihatan mereka begitu mesra semula seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku dan hubungan persaudaraan itu terus kekal sehinggalah mereka berpindah ke alam lain.Al-Fatihah....

Friday, January 8, 2010

Air Setitik/ A Drop of Water: Bagian VI: Pengantar Perjalanan Diri-Benarkah Allah SWT itu Esa?

Air Setitik/ A Drop of Water: Bagian VI: Pengantar Perjalanan Diri-Benarkah Allah SWT itu Esa?

Mengenal diri yang sebenar-benarnya diri. ( Bagian pertama Pengantar Ilmu Tasawuf )
Ini mungkin sebagai permulaan untuk aku memperkenalkan ilmu mengenal ini kepada isteriku, anak-anakku dan sahabat-sahabat yang ingin mencari-cari.... Sekurang-kurangnya setelah aku berhijrah ke alam lain, mereka dapat melihat dan membaca serta mungkin mahu mengkaji lebih lanjut lagi, alhamdulillah titipan-titipan ini mungkin boleh menjadi asas atau panduan. Jangan takut, kita takkan mungkin gila untuk mempelajarinya sekiranya niat kita baik untuk Nya seadanya! ISLAM ITU WUJUD ATAS PERKARA GHAIB DAN NYATA...fahamkanlah ini.

Thursday, November 8, 2007

Keunikan Bapaku

Aku bukan mahu meletakkan martabat bapaku tinggi menjulang kerana bagiku hanya Allah sahaja yang layak dipuji dan dijulang. Namun untuk tinggalan kenanganku, ku titipkan juga keunikan keperibadian bapaku yang dianugerahkan oleh Allah kepada kami sekeluarga sehingga kini sebahagian besar kebaikan dan nilai-nilai keperibadiannya tidak dapat diikuti mahupun aku dan lain-lain adik-beradikku!

Pertamanya dialah lambang perjuanganku dalam membentuk keluarga bahagia iaitu fokusnya tidak berbelah bagi memastikan keluarganya tidak terabai baik dari segi kewangan mahupun kebendaan juga keagamaan. Walaupun kami adalah tergolong antara keluarga 'miskin bandar', dia menunjukkan semangat tinggi dengan bekerja keras dari seorang pekerja kilang biasa (kuli) sehingga menjawat jawatan tertingginya iaitu Mandur Gred Pertama!

Bapaku seorang 'workaholic' yang pada pandanganku amat jarang ditemui oleh majikan. Dia sanggup bekerja lebih masa tanpa mengira kudrat dan senantiasa taat kepada arahan-arahan majikannya. Dia adalah seorang yang menetapi masa dalam pekerjaan dan kehidupannya. Dia sering dihantar keserata ceruk lombong dan laut utk bekerja memasang getah latex dalam industri perlombongan. Kadang-kadang dia rela tidak pulang ke rumah berbulan-bulan lamanya demi mematuhi arahan majikan tanpa sekelumit pun rungutan.

Dia telah bekerja selama 40 tahun disatu tempat kerja yang sama dan sering mendapat pujian mahupun dianggap contoh pekerja terbaik menerusi anugerah-anugerah di majlis-majlis syarikatnya. Sepanjang perkhidmatannya, dia tidak pernah mendapatkan cuti sakit dan amat jarang berjumpa doktor! Setiap hari samada hari bekerja atau tidak, dia tetap akan bangun dari tidur jam 5 pagi dan amalannya akan minum air masak suam sebelum ke tandas. Waktu tidurnya juga amat terjaga kerana jam 9 malam adalah waktu tidurnya sehingga kini.

Aku tidak pernah melihat bapaku melepak di kedai-kedai kopi atau gerai. Arwah ibuku akan membuat sarapan dan menyediakan bekalan untuk minuman waktu rehat. Cerita ini aku dapat dari sahabat-sahabatnya sewaktu aku bekerja di tempat kilang yang sama sewaktu menanti keputusan SPMku. Bapaku sepanjang ingatan sahabat-sahabatnya tidak pernah berkunjung ke kantin kilang! Waktu tengahari dia akan pulang ke rumah untuk makan tengahari dan kemudian pergi semula ke tempat kerja. Selewatnya-lewatnya jam 4.30 petang dia akan pulang terus ke rumah dan membantu kerja-kerja rumah selain membantu ibuku membuat kuih-muih untuk aku berjaja.

Itulah rutinnya sekiranya dia tidak pergi 'out-station'. Sekiranya dia 'out-station' dia akan pastikan elaun makan yang diperolehi akan berbaki dan diserahkan kepada ibuku. Rahsianya satu lagi ialah dia tidak pernah mengambil wang gajinya yang diperolehi sebelum menyerahkan kepada ibuku yang akan mentadbir kewangan itu sesuai utk kehidupan kami.

Ibuku 'queen qontrol?' Tidak juga kerana aku melihat keharmonian rumahtangganya didirikan atas rasa kasih sayang dan percaya-mempercayai. Ibuku telah menceritakan perkara ini kerana terdapat cerita-cerita kurang menyenangkan dari saudara-mara sebelah bapaku berkenaan ibuku telah meng'queen-controlled' bapaku, tetapi hakikatnya itulah sifat dan keperibadian bapaku kerana biasanya dia akan beralah dengan isteri dan anak-anaknya dalam penggunaan kewangan. Baginya pastikan keluarga mendapat dahulu apa yang dihajati dalam melunaskan tanggung-jawabnya.

Aku anak kesayangannya? Kadang-kadang terucap juga kata-kata dari adik-beradikku yang lain tetapi aku melihat berdasarkan kerja keras dan pengorbanannya terhadap keluarga, terpancar kesayangannya kepada keluarganya, kerana kasih sayang dan keharmonian keluarga tidak diperolehi dari keluarganya sewaktu dulu kerana keluarganya telah menyerahkannya kepada neneknya untuk dipelihara. Bapaku adalah merupakan anak kembar dan ibu-bapanya menyerahkan bapaku kepada nenek sebaliknya memelihara adik kembarnya. Namun begitu adik kembarnya telah meninggal dunia sewaktu berusia 10 tahun lalu terjadi perebutan antara mereka untuk mendapatkan semula bapaku tetapi nenekku telah melarikan diri ke hutan dan bekerja sebagai penoreh getah di estet serta hidup dalam penuh kedaifan. Bapaku cuma bersekolah sehingga darjah 3 dan selepas itu terpaksa berhenti untuk mula bekerja menyara kehidupan. Sedangkan adik beradiknya yang lain mendapat persekolahan penuh dan ada yang dihantar ke universiti!

Oleh itu aku yakin bapaku tidak membahagikan kasih terhadap anak-anaknya seperti yang telah terjadi padanya! Namun begitu kerana bapaku seorang penyenyap dan tidak seperti ibuku yang kuat berleter, sering kami adik-beradik gagal mentafsir kecuali aku yang dapat membaca gerak hatinya dan gerak lakunya samada suka atau tidak, gembira atau sedih dan marah atau tidak. Memang segala keperluanku terutama untuk belajar dia akan bertungkus-lumus menyediakan demi melihat aku selesa terutama lampu belajar dan meja selain alatulisku. Sering pada waktu malam (kebiasaanya aku mengulangkaji pelajaran waktu malam) dia bangun dari tidur dan melihat aku dengan pandangan yang aku fahami bahawa 'belajarlah Man demi membebaskan kita dari kemiskinan ini..."

Tuesday, November 6, 2007

Pada tahun 1972, keluargaku telah bertambah bilangan dengan kehadiran adik lelaki. Bapaku juga terus mendapat tambahan rezeki dengan mendapat kenaikan gaji serta dinaikkan pangkat menjadi Mandur Gred 2. Bapaku juga dengan kebijaksanaan ibuku menjadi Menteri Kewangan keluarga, berjaya menambah rumah di bahagian belakang yang kemudiannya dijadikan rumah sewa bagi menambah lagi pendapatan bapaku.

Namun kami terus berusaha dengan ibuku juga selain membela ayam dan itik, juga membuat gerai di halaman rumahku dengan menjual nasi lemak dan kuih-muih. Satu hari ibuku telah memujukku dengan mengatakan bahawa jualan kuih-muih digerai tidaklah menggalakkan dan memberi cadangan agar aku berjaja kuih-muih ke serata ceruk kampung. Pada mulanya malu untuk memulakannya tetapi kerana himpitan kewangan dengan belanja persekolahan yang semakin meningkat, aku tekad menjadi penjaja kuih.

Maka bermulalah kehidupanku sebagai budak penjaja kuih dan suaraku akan bergema melaungkan pekikan kuih...kuih; nasi lemak....kuih-kuih; nasi lemak ... sejak awal pukul 6 pagi (sekarang pukul 5.30 pagi!) hinggalah pukul 9 pagi atau lebih bergantung kepada kelarisan jualan.

Aku menjadi budak penjaja kuih dari umur 8 hinggalah ke 12 tahun! Banyak pengalaman yang ku kutip dan ditempa sepanjang menjadi budak penjaja kuih ini. Ada manis dan ada pahitnya...Aku tidak lagi membawa nasi lemak untuk dijual di sekolah kerana pada satu hari aku telah ditangkap oleh Guru Besar kerana menjalankan perniagaan. Peniaga kantin tempat sekolah ku telah membuat aduan kerana nasi lemaknya tidak laku dan perniagaanku semakin laris sehingga pesanan yang ku dapat mencecah ke 50 bungkus sehari! Pelangganku pula adalah termasuk guru-guru sekolah yang sering memuji keenakkan nasi lemak buatan ibuku.

Dipendekkan cerita aku telah ditangkap dan dikenakan hukuman iaitu sebat di hadapan perhimpunan sekolah. Ketika itu hanya tangisan yang keluar dari hati dengan kemarahan serta kebingungan kenapa kesalahan aku ini sehingga mendapat hukuman sebegini rupa. Namun oleh sebab waktu itu usiaku hanya 8 tahun dan hendak pandang Guru Besar (India) pun bagai nak terkencing, kemarahan itu hanya meletup di dalam hati! Selepas itu pada waktu rehat aku telah dijamu percuma oleh peniaga kantin (Cina) dengan mee goreng dan air sirap! Peristiwa ini begitu melekat dalam ingatanku kerana menjadikan azamku keras seperti batu untuk meneruskan berniaga!

Ingin aku teruskan resepi kejayaan ku ini sekarang kepada anak-anak perempuanku yang semakin kini telah remaja tetapi hasratku terbantut dengan keadaan masyarakat kita kini yang seolah-olah kembali ke zaman Jahilliah dengan kekejaman terhadap kanak-kanak semakin berleluasa....sehingga dirogol dan dibuang, terlalu kejam....

Berbalik kepada rakaman kenangan sewaktu berjaja kuih, pada satu pagi aku rasa tak sedap badan bagai hendak demam. Apabila ku kendong 2 bakul dengan tangan kananku dan 2 lagi bakul di tangan kiriku, aku rasa terlalu berat dan lalu merungut kepada ibu mengatakan keenggananku dan meminta bakul itu diringankan sedikit. Tiba-tiba aku lihat ada airmata yang tumpah dari wajah ibuku lalu menitis ke atas tangan kananku yang sedang mengkendong bakul-bakul kuih tersebut.

"Hanya kaulah harapan kami untuk mendapatkan sedikit wang belanja dapur dan sekolah, kalau harap duit gaji abah tak cukup Man, nanti kalau kita dah senang, tak payahlah Man susah-susah macam ni...pergi ya.."

Lalu tak toleh belakang terus melangkah dan melaung kuih-kuih...nasi lemak.....kuih...kuih....nasi....lemak dengan nada yang kuat dan mendayu-dayu....

Al-Fatihah buat ibuku yang tersayang...Hajjah Sariamin bt Haji Said.

Monday, November 5, 2007

Berpindah Ke Rumah Baru - Rumah Sendiri

Peristiwa hitam negara pada 13 Mei 1969 turut mengubah nasib hidup kami sekeluarga apabila Menteri Besar Selangor ketika itu YB Dato Harun telah membuka dengan banyaknya lot-lot perkampungan Melayu di sekitar pinggir-pinggir Kuala Lumpur seperti di Ampang, mukim batu, Subang, Petaling Jaya dan banyak lagi. Lot-lot tapak rumah ini dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Negeri Selangor ketika itu khususnya dalam menyediakan prasarana asas seperti jalan tanah dan longkang. Namun begitu sambungan elektrik dan air tidaklah sepantas harapan rakyat dan MB kerana hampir beberapa tahun kampungku Kg Melayu Batu Caves atau dulu dikenali sebagai Kampung Seri Dingin tidak mempunyainya.

Maka bermula dari situ aku mengenali lampu minyak tanah dan lampu gasoline khususnya untuk membaca buku dan mengulangkaji pelajaran. Lot tapak rumah yang mula dibuka pada pertengahan tahun 1970 itu dahulunya adalah bekas kawasan lombong yang ditambak walaupun tidak sepenuhnya, tetapi terpaksa pulalah penduduk bergotong-royong menambak dengan tanah atau pasir.

Bapaku mula mendirikan rumah dengan bantuan Datok ku (ayah kepada bapaku) dan saudara-mara khususnya dari abang saudaraku yang juga merupakan anak angkat kepada ibu dan bapaku kerana telah menjaganya sejak dari kecil kerana kematian ibubapanya. Namanya abang Rosli. Pada akhir tahun 1970, siaplah rumah papan kami dengan mempunyai 3 bilik, ruang tamu, tangga Melaka, ruang dapur, ruang makan dan yang tentunya mestilah ada tandas; dan berpindahlah kami sekeluarga, masa itu kami cuma 4 orang adik-beradik (aku ketiga) ke rumah baru pada bulan Disember 1970!

Oleh kerana masih tiada bekalan air, kerajaan menyediakan satu paip air di hadapan kampung yang akan digunakan oleh semua orang secara bergilir-gilir mengikut masa yang telah ditetapkan oleh ketua kampung. Giliran bapaku jatuh pada antara jam 3-4 pagi dan kami terpaksa bangun pukul 3 pagi untuk membantu bapaku menarik troli (kereta tolak khas buat meletak tong-tong air-dibuat sendiri oleh bapaku!). Setiap trip kami boleh meletakkan 4 atau 5 tong air dan selebihnya kami angkut pakai tangan kerana memang air banyak diperlukan untuk membasuh baju, pinggan-mangkuk dan keperluan pembersihan diri dan lain-lain.

Kami adik-beradik lain terutamanya abang dan aku tidak boleh tidur lagi selepas itu kerana kami perlu pula bersiap untuk pergi ke sekolah di Jalan Ipoh, Batu 5. Waktu itu aku baru mulakan persekolahanku darjah satu!

Tugas aku ke sekolah bukan setakat belajar sahaja, malah aku terpaksa membawa lebih-kurang 20 bungkus nasi lemak untuk dijual di sekolah, untuk menampung belanja persekolahan. Abang ku juga turut membawa lebih kurang 30 bungkus nasi lemak untuk tujuan yang sama. Cuma kakak saja yang tidak mahu sebab malu!

Naik bas pada masa itu bukan macam sekarang kerana orang terlalu ramai sementara kenderaan awam amat kurang berbanding sekarang. Hasilnya kami terpaksa berebut-rebut untuk naik bas, kadang-kadang terpaksa bergantung di hujung tangga bas!