Mukadimah

Hasil dari penulisan puisi dan rancangan hendak menghasilkan buku pertama saya, tergerak hendak melagukan puisi-puisi tersebut di dalam bentuk lagu dan melodi; melihatkan anak-anak saya lebih teruja mendengar lagu dari membaca lalu terhasillah album ini yang mengandungi lagu-lagu puisi ketuhanan, nasyid, motivasi dan nasihat.

Saya mengumpamakan album ini bagaikan 'sebuah buku yang boleh didengar' kerana sebagai seorang yang bukan dilahirkan sebagai penyanyi dan pemuzik, maka sudah tentulah pertolongan dari Allah yang boleh menyebabkan album ini dapat disiapkan. Alhamdulillah.

Album ini bukanlah tujuan utamanya untuk dijual; oleh itu saya izinkan sesiapa yang berminat utk mendengar dan meng'download' lagu-lagu ini ke dalam PC mereka; adalah dialu-alukan. Sekiranya ada yang berminat ingin mendapatkan CD yang lengkap bersama cover, tentulah sedikit kos akan diperlukan untuk menyalin CD dari komputer 'home studio' saya serta penghantaran.

Sunday, November 4, 2007

Miskin Kota Miskin Desa

Zaman kecilku tiada apa yang hendak dibanggakan. Tinggal di rumah kuarters untuk pekerja-pekerja kilang tempat bapaku bekerja yang cuma mempunyai 2 bilik, bapaku terpaksa menyambung rumah tersebut demi menambah ruang untuk kami sekeluarga yang ketika itu mempunyai 4 anak termasuk aku.

Bapaku memang berasal dari pinggir kota dan ibuku pula berasal jauh sedikit dari pinggir kota (waktu itu memang kampung). Bekerja sebagai pekerja kilang dan ibuku pula sebagai surirumah sepenuh masa, memang kami sekeluarga dihimpit kesusahan dari segi wang ringgit, tetapi dengan bangganya aku boleh beritahu kami tak pernah miskin kasih sayang. Hidup kami waktu itu sering diisi dengan gurau-senda dan ketawa.

Berkat kerajinan dan kesungguhan bapaku bekerja (serta taat), bapaku dinaikkan gaji serta pangkat sehinggalah bergelar Mandur Gred Bawah. Ibuku pula bersama aku dan abang kakakku tolong-menolong melakukan kerja-kerja melipat dan memasukkan broser dalam plastik untuk dimasukkan dalam tin-tin susu sebuah kilang susu. Bukan kami sekeluarga sahaja yang dapat kerja sub-kontrak ini, tapi seingat aku ramai lagi keluarga di kuarters tersebut melaksanakan kerja part-time ini untuk menambah pendapatan. Ibuku juga membela ayam untuk disembelih ketika hari-hari raya sahaja, tentulah Aidilfitri dan AidilAdha! Memang kami hanya dapat rasa masak ayam waktu hari raya saja! Namun begitu oleh kerana kawasan rumah terhad, nak bercucuk tanam pun tak dapat!

Terngiang-ngiang lagi kata-kata ibuku iaitu miskin orang desa; mereka takkan kebuluran selagi mereka rajin tangkap ikan dan tanam sayur. Yang nak kena beli cuma beras, gula dan garam saja. Namun miskin orang kota lagi kalut sebab awal-awal pagi lagi kena keluar duit beli itu dan ini demi kehidupan. Kalau tak ada duit maknanya silap-silap haribulan memang boleh kebuluran!

Justeru sampai sekarang, aku sering bertanya kepada isteriku cuba pandang-pandang dan tengok-tengok jiran sebelah kalau-kalau ada yang hidup susah jangan sampai tak ada benda nak makan. Kita sebagai jiran seharusnya ambil tahu (bukan nak jaga tepi kain orang!) tapi takut memang betul tak ada duit nak beli makanan.

Jadi pesan saya kepada sahabat-sahabat kalau terdengar jiran-jiran yang dapat imbuhan kena berhenti kerja; tengok-tengokkanlah sebab duit imbuhan katakan RM100,000 yang diperolehi dari imbuhan tersebut bukannya boleh bertahan lama kalau tak dapat cari kerja lain atau habis kerana buat berniaga!

No comments: